Prasejarah dan Rom Purba Sejarah_Itali

Rencana–rencana utama: Itali Prasejarah dan Rom Purba
Bangunan Colosseum di Rom, ca. 70 – 80 M.

Kerja-kerja ekskavasi di seluruh Itali membuktikan kehadiran manusia moden yang begitu lama sejak zaman Paleolitik, sekitar 200,000 tahun dahulu.[2] Dari segi kebudayaan dan linguistik, asal-usul sejarah Itali boleh dijejaki seawal-awal abad ke-9 SM, apabila kisah-kisah terawal mentarikhkan kehadiran puak-puak Italik di tengah-tengah Itali moden. Secara linguistik, mereka terdiri daripada Oska, Umbria dan Latin. Lama-kelamaan, kebudayaan Latin menjadi dominan apabila Rom bangkit sebagai kota yang paling berkuasa sekitar tahun 350 SM. Tamadun-tamadun pra-Rom yang pernah menduduki Itali termasuklah Magna Graecia di Itali Selatan dan tamadun Etruska yang mekar sekitar 900 hingga 150 M di rantau Utara Tengah, Lembah Po, Latium dan Campania.[3]

Pada abad ke-17 hingga ke-11 SM, orang Yunani Mycenae menjalin hubungan dengan Itali[4][5][6][7][8][9][10]; pada abad ke-8 dan ke-7 SM, jajahan-jajahan Yunani ditubuhkan di sepanjang pantai Sicily dan kawasan selatan Semenanjung Itali yang dikenali sebagai Magna Graecia. Rom Purba pada awalnya merupakan sebuah komuniti pertanian kecil yang diasaskan sekitar abad ke-8 SM yang membangun sepanjang zaman hingga menjadi empayar gergasi yang meliputi seluruh Laut Mediterranean, di mana kebudayaan Yunani dan Rom bergabung menjadi satu tamadun. Tamadun ini begitu berpengaruh sekali sehingga kesan yang ditinggalkannya masih wujud dan dipakai dalam undang-undang, pentadbiran pusat, falsafah dan seni moden, maka ia telah meninggalkan asas buat seluruh tamadun Barat. Dalam zaman kemerosotan beransur-ansur sejak akhir abad ke-4 Masihi, empayar ini akhirnya berpecah menjadi dua pada tahun 395 M, iaitu: Empayar Rom Barat dan Empayar Rom Timur. Empayar barat yang menerima tekanan orang Goth akhirnya dibubarkan, menyebabkan semenanjung Itali terbahagi kepada negara-negara kecil yang bebas dan negeri-negeri kota yang saling berbalahan selama 1,300 tahun seterusnya, maka tinggal sahaja empayar timur sebagai pewaris tunggal pusaka Rom.